Semalam aku terpana bila membaca berita kemalangan bus, setelah 20 orang terkorban dalam nahas bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi semalam, Hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid mencadangkan kamera automatik dipasang di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negara. Itulah sudah terhantuk baru nak tengadah. Apa dah jadi dengan pengunaan kotak hitam dalm bus dan tak praktikal lagi ke, hangat-hangat tahi ayam. Aku masih lagi ingat bagaimana dalam lima tahun yang lepas apabila kerap sangat kemalangan maut melibatkan bas ekspress JPJ menguatkuasakan pengunaan kotak hitam di dalam bas yang mana mengambarkan bila bas ini dipandu laju akan ada signal amaran, data kelajuan boleh direkod dan sebagainya tapi sejauh mana berkesan.
Sebelum memiliki kereta aku adalah orang yang amat setia menggunakan bas ekspress untuk pulang ke kuantan dari Shah Alam, bagaimana dapat aku saksikan tabiat buruk pemandu bas memecut sesuka hati walaupun bunyi amaran beeb..beeb..beeb kedengaran apabila kelajuan melebihi had. Memotong sesuka hati, menghimpit kenderaan kecil laksana raja di jalanan. Lagi satu aku pernah mendengar dan menyaksikan bagaimana pemandu bas berborak sesama sendiri bercerita takut nak mengambil ubat penahan (sejenis ubat dari negara jiran) kerana kebetulan pada hari tersebut JPJ membuat ujian saringan air kencing di Lebuh Raya Pantai Timur. Jelas bahawa sesetengah pemandu mengunakan ubatan mengandungi dadah perangsang yang aku kira boleh menyumbang kepada kecelakaan. Kalau masih ingat bagaimana tragedi bas NIELA yang sering sahaja terlibat dalam kemalangan, tragedi kemalangan sewaktu perayaan Aidil Fitri di Merapoh, Pahang menggetarkan jiwa kita setiap kali terpaksa menggunakan pengankutan bas.
Tahun lepas sejauh mana entahlah betul katanya ada pegawai JPJ berpakaian preman menaiki bas bersama sama untuk membuat pemantauan.Berbalik kepada pokok persoalan adakah cadangan kamera automatik dipasang di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negara boleh menyumbang kepada pengurangan masalah ini andainya sikap para pemandu-pemandu bas masih lagi ditakuk lama, bas yang tidak lepas pemeriksaan puspakom terus merajai jalan raya (nanti akan aku ceritakan dalam entri lain bagaimana "ulat-ulat" berkeliaran dipuspakom berdasarkan pengalaman sendiri)
Hukuman demi hukuman,cadangan demi cadangan namun nyawa yang terkorban akibat kecelakaan bus ekspress amat menyedihkan. Takziah buah semua ahli keluarga mangsa. Al-fatihah.