Wooooo, lajunya
Ahad lalu aku, zana, Mbeng, sarah dan juga azmeer buat kunjungan untuk berbasikal di Bukit Cerakah. Seronok sekali menghabiskan masa hampir empat jam berbasikal di sana. Walaupun cukup penat dan tegang rasanya urat keting mengayuh pedal basikal yang kami sewa, namun kami rasa cukup gembira. Pukul 9 pagi seawal pintu masuk di buka kami sudah terpacak di sana. Mula dengan sarapan nasi lemak masakan isteriku yang di bungkus, kami memulakan kayuhan ke taman haiwan, cukup comel burung kakak tua yang menyambut dengan ucapan "hello". Kami teruskan ke taman arnab yang yang sudah ditutup dan kemudian ke Danau Perikanan yang cukup menyedihkan keadaaanya. Kemudian kami ke rumah empat musim, malang sekali sekarang adalah musim peralihan ke musim sejuk, jadi tiada apa yang dapat dilihat, dijangkakan minggu depan baru bermula musim sejuk. kami teruskan lagi ke menara tinjau yang cukup menyeronokkan kami memanjat anak tangga menuju ke puncak menara. Kami merehatkan diri sambil menikmati roti sandwich yang dibikin sarah sambil membasah tekak dengan minuman isotonik 100 +.
Kering peluh kami menuju pula ke taman herba, siksanya jalan naik bukit, jadi kami semua lebih banyak menolak dari mengayuh basikal. Sempat aku merasa pucuk pokok asam gelugur yang masam masam manis. Kami terus ke perkampungan budaya yang di tutup maka kami kembali menuju ke laman seni, satu lagi kesan yang menunjukkan Bukit Cerakah idea mantan menteri pertanian Tan Sri Sanusi Junid sudah hambar sambutannya. Laman seni dengan pentas mula roboh dan bangku penonton yang di bina di celah-celah pepohon besar telah semak samun.
Terus mengayuh kami menuju taman paku pakis, teruja melihat anak sungai yang cukup jernih mengalir kami semua berhenti seketika, sambil membasuh kaki, tabing dan sarah tak lepas peluang menangkap anak-anak udang yang meriah menghurung kakinya, dapat la se ekor dua anak udang di isi kedalam bekas minum kami.
Menuju jalan pulang kami lebih banyak mengayuh kerna jalanya landai dan menuruni bukit, senok sekali meluncur laju. Basikal yang kami sewa untuk 4 jam hanya RM 6 sahaja, murah dan memuaskan. Aku cadangankan kepada sesiapa yang nak keluar peluh pergilah berbasikal di Bukit Cerakah, tapi kalau nak lihat benda lain kuranglah sedikit kerana banyak yang sudah terbiar, tidak di jaga dan ada juga yang sudah di tutup terus.